RANTAU PANJANG - Ibu bapa kepada bayi perempuan yang maut dipercayai didera, berasa berat hati semasa menghantar anaknya ke rumah pengasuh, Rabu lalu.
Bapa mangsa, Muhammad Zainal Abd Rahman, 27, mengaminkan doa di kubur anak bongsunya.
Ibu, Noraihan Ab Aziz, 22, berkata, mengenangkan dia dah suami perlu mencari rezeki, mereka memberi sepenuh kepercayaan kepada wanita itu untuk menjaga dua anak yang masih kecil.
Namun katanya, dia tidak menyangka nasib yang menimpa anak bongsu, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, 11 bulan, kerana dia terlalu kecil untuk menanggung kesakitan akibat kecederaan parah di kepala dan kesan koyakan di kemaluannya.
"Saya reda, tapi saya harap pesalah itu dikenakan hukuman setimpal dan jadi pengajaran kepada orang lain.
"Sampai ke hari ini, saya macam tak percaya, anak kecil yang saya hantar dalam keadaan sihat Rabu lalu, meninggal dunia akibat didera,” katanya ketika ditemui di Kampung Tasik Permai.
Lebih sedih katanya, Nur Muazara Ulfa meninggal akibat sikap manusia yang kejam.
Bayi malang ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual Periok, jam 7.50 pagi semalam.
sumber : sinarharian

